JANUARI 2025

Latih Belia PBB, Lahirkan Pemimpin Pelapis PBB


MIRI: Ahli Sayap Belia, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) perlu mendapatkan latihan yang sewajarnya untuk meneruskan perjuangan dan kesinambungan kepimpinan parti.

Premier Sarawak yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara tersebut penting untuk memastikan golongan muda boleh menghadapi cabaran masa hadapan dengan baik.

“Saya fikir pelapis kita yang terdiri daripada pemuda sudah bersedia menyambung legasi pemimpin yang sedia ada terutamanya mereka yang sudah berusia. Kita tidak boleh pentingkan diri dan apabila tiba masanya kita akan menyerahkan kepimpinan kepada mereka yang lebih muda.

“Oleh itu, kita harus melatih golongan muda untuk menjadi pemimpin, yang penting parti PBB kekal relevan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Cawangan-Cawangan Zon Utara di Miri hari ini.

“Golongan muda ini selalunya gopoh dalam melaksanakan sesuatu, disebabkan itu penting latihan dilaksanakan supaya mereka boleh menghadapi cabaran dengan bijak.

“Apabila mereka mempunyai ilmu, kebijaksanaan dan pengalaman, mereka dapat membuat keputusan yang baik untuk membawa Sarawak terus ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Cawangan PBB Zon Utara, di Hotel Pullman Miri, hari ini.